Fakta Tentang WD-40 Yang Anda Perlu Tahu


Dalam zaman 70-an dan 80-an, nama-nama seperti brasso, Autosol, STP dan minyak Singer memang lazim. Hampir setiap rumah mempunyai produk-produk tersebut.

Kemudian, bila masuk era 90-an, kebanyakan produk tersebut antara sudah luput, atau digantikan dengan produk baharu yang lebih moden. Antara yang popular ialah jenama pelincir WD-40.

Untuk generasi X, WD-40 ialah produk wajib yang ada di dalam tempat letak barang kenderaan mereka. Namun, adakah anda pasti anda tahu apa dia WD-40 itu?

Perkara penting yang anda perlu tahu tentang jenama botol biru label kuning itu

1. Apa maksud WD-40?

Ia bermaksud Water Displacement, 40th Formula atau Anjakan Air, formula yang ke-40.

Dalam tahun 1953, tiga orang pekerja syarikat Rocket Chemical Company di San Diego, California diberi tugas untuk menghasilkan pelarut (solvent) dan penyahgris (degreaser) yang mampu menghalang karat. Formula mereka yang ke-40 nyata berjaya.

2. Produk pertama menggunakan WD-40 ialah peluru berpandu

Syarikat kontraktor aeroangkasa Convair menggunakannya untuk kali pertama bagi melindungi permukaan luar peluru berpandu Atlas dari berkarat. Formula WD-40 itu sungguh berkesan sehinggakan pekerja-pekerja membawa keluar produk itu secara senyap-senyap untuk digunakan di rumah. Paling menarik, formula ke 40 itu masih digunakan, sehingga sekarang!

Iklan lama WD-40 dalam majalah Popular Mechanics keluaran Julai, 1960.

3. Bila WD-40 mula dipasarkan kepada umum?

Norm Larsen, pemilik syarikat Rocket Chemical Company mengambil formula WD-40 dan memasukkannya ke dalam tin aerosol untuk dijual kepada orang awam, dengan harapan orang lain mungkin akan melihat penggunaannya di rumah. Ia mula dijual kepada orang ramai di bandar San Diego dalam tahun 1958. Ternyata ia popular, dan dalam tahun 1969, syarikat Rocket Chemical hanya mempunyai satu produk - WD-40 dan nama syarikat pun ditukarkan ke WD-40 Company, Incorporated.

4. Apa bahan yang ada dalam WD-40?
Bahan-bahan yang digunakan sebenarnya rahsia, tetapi WD-40 tidak mempunyai:

Bahan silikonKerosin (minyak gas) Air Graphite Chlorofluorocarbons (CFCs yang membunuh ozon).

5. Berapa lama aplikasi WD-40 berlangsung selepas disembur?

Walaupun permukaan nampak kering selepas disembur, WD-40 masih lagi mampu menahan karat kerana bahan anti karat akan melekat terus ke permukaan benda tersebut.

Untuk kegunaan luaran bagaimanapun memerlukan aplikasi yang lebih banyak dan cara aplikasi juga memberi kesan.

6. Adakah WD-40 boleh digunakan pada semua permukaan?

WD-40 boleh digunakan pada hampir semua permukaan plastik, besi, kayu dan getah tanpa merosakan cat. Namun begitu, polycarbonateddan clear polystyrene plastic adalah beberapa permukaan yang tidak boleh digunakan oleh produk perdasarkan petroleum seperti WD-40.

7. WD-40 boleh melonggarkan nat yang berkarat

Jika nat pada sambungan paip berkarat, sembur WD-40 kepada nat tersebut dan biarkan beberapa jam. WD-40 akan mula memberikan kesan dan nat yang ketat itu boleh dibuka. Jika masih degil, ambil spanner dan ketuk dengan penukul perlahan-lahan ikut arah lawan jam.

8. WD-40 mampu menghilangkan contengan kanak-kanak di dinding

Anak anda terlebih kreatif dan mula menconteng dinding dengan krayon? Semburkan WD-40 pada lukisan tersebut dan lap hingga krayon hilang.

9. WD-40 boleh menyinarkan permukaan krom

Sembur WD-40 pada permukaan krom, dan gosok sehingga kering dan krom anda akan "merelit" bak kata Rita Rudaini.

10. WD-40 boleh membuka pelekat (sticker)

Pelekat yang degil boleh dibuka dengan WD-40. Umpil penjuru pelekat, dan semburkan WD-40 sambil perlahan-lahan menarik keluar pelekat itu. Jika sisa gam pelekat ada tertinggal di permukaan, sembur WD-40 dan lap.

11. WD-40 melindungi alatan pertukangan anda

Perasan bagaimana alatan besi seperti gergaji, gunting dahan dan sebagainya mudah berkarat bila disimpan di dalam stor? Semburkan bilah besi itu dengan WD-40, lap hingga kering dan insya Allah, tiada lagi gergaji berkarat!

12. WD-40 membantu ahli GTB (Geng Takut Bini)

Engsel pintu anda berbunyi kuat hinggakan isteri terbangun bila anda cuba menyelinap masuk ke rumah selepas mengeteh dengan rakan-rakan? Jangan khuatir. Semburkan WD-40 pada engsel dan bunyi akan lenyap. Jika engsel kembali berbunyi selepas sehari, anda terbeli WD-40 palsu (banyak dipasaran ya).

13. WD-40 membuang air dari rantai basikal

Pastinya anda tahu, menunggang basikal di dalam hujan atau selepas meredah sungai akan menjadikan rantai basikal keras dan berkarat. Semburkan WD-40 pada rantai dan ia akan menghapuskan air dari rantai. Jangan lupa, semburkan pelincir rantai WD-40 selepas itu ya!

14. WD-40 boleh hilangkan kotoran pada dalam kabin kereta

Bahagian bawah pintu selalu kotor kerana dilanggar kasut. Bekas hitam yang wujud sangat menjengkelkan, terutama jika kabin kenderaan anda berwarna cerah. Muat WD-40, semburkan pada kesan-kesan tersebut dan sapu hingga kering.

15. WD-40 boleh hilangkan kesan tar pada kereta

Bila memandu di jalanraya yang baharu ditar, kadang-kadang kesan tar itu hinggap ke badan kereta. Jangan meroyan, sembur WD-40 dan tar akan hilang bila disapu!

No comments

Powered by Blogger.