Civic Type-R Ada Tiga Corong Ekzos Untuk Tahun 2017/18

                                  


Belum lagi kita puas melihat Honda Civic Type R model tahun 2015, yang baru kini sudah mula muncul dan diuji oleh Honda.

Gambar-gambar dari laman web Motor1 menunjukkan bahawa Honda Civic Type R yang bakal dilancarkan tahun hadapan di Amerika Syarikat datang dengan corong udara pada hud enjin (hood scoop), bamper hadapan baru dengan sepasang liang udara besar, spoiler belakang ala tiang gol dan paling menarik, tiga corong ekzos di tengah, seperti Ferrari 458 Italia.

Gambar-gambar yang diambil di Sepanyol itu menunjukan Type R ini sedang diuji oleh jurutera di sana. Sepanyol memang sering menjadi tempat ujian kenderaan-kenderaan baru dan para media sering ke negara tersebut untuk uji pandu model global terkini. Sayang sekali laman web Bahasa Malaysia masih lagi kurang diberi peluang begitu berbanding dengan laman web Bahasa Inggeris.

Masih tiada lagi berita jelas apakah enjin yang akan digunakan oleh Civic Type R ini walaupun pelbagai andaian dilakukan. Paling kuat ialah ia akan menggunakan enjin 4-slinder 2.0 liter turbocharge yang digunakan dalam Type R sekarang. Juga tiada sebarang petunjuk bahawa adakah Type R akan terus mengekalkan konsep FWD pacuan roda depan atau bertukar ke AWD pacuan semua roda.

Yang pasti, apa pun pacuan, Malaysia masih lagi tidak mendapat model Type R 2015. Honda Malaysia juga dikatakan telah membatalkan hasrat membawa masuk NSX model terkini kerana harganya akan mencecah RM2 juta, terlalu mahal untuk pasaran Honda di Malaysia.

                               2018-honda-civic-type-r-spy-photo (3)

No comments

Powered by Blogger.